Wednesday, September 2, 2009

Rumah Anak Yatim Negeri Sembilan




Rumah Anak Yatim Darul Aminan

Rumah anak yatim ini milik persendirian yang diuruskan oleh Tuan Haji Kamalul Arifin Bin Abu Kasim.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi 013-3494442 atau menyalurkan terus sumbangan ke Akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan di bawah nombor akaun 05-01201-005962-5.


SEREMBAN 26 Mei - Anda mungkin tidak merasa penderitaan anak-anak kecil ini, tetapi percayalah di sanubari mereka tersimpan perasaan untuk mendapat belaian kasih seorang bapa yang telah pergi buat selama-lamanya.
Malahan, ada juga di kalangan penghuni di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aminan (Darul Aminan) di Ampangan, di sini tidak mendapat perlindungan sewajarnya sebelum ini kerana kesempitan hidup dan mereka mengharapkan simpati masyarakat untuk menentukan hala tuju hidup mereka.

Namun begitu, Darul Aminan yang dibangunkan sejak Januari 2006 kini menjadi penyambung kehidupan mereka, malahan kanak-kanak kurang bernasib baik itu kini dijaga, dibelai, dimanjai seperti anak-anak penjaga mereka sendiri.

Apa tidaknya, Darul Aminan kini menempatkan seramai 37 penghuni berusia setahun sehingga 16 tahun yang merupakan anak-anak yatim daripada keluarga miskin di Negeri Sembilan.

Bukan dipaksa atau diheret ke situ, tetapi anak-anak yatim ini melangkah ke Darul Aminan atas kerelaan sendiri demi masa depan yang lebih baik walaupun terpaksa berpisah dengan ibu dan adik-beradik yang lain.

Di sinilah kehidupan baru mereka bermula apabila Darul Aminan menjadi 'rumah' untuk berlindung dan mencipta masa depan yang lebih baik.

Begitupun di sebalik pengharapan baru yang diberikan di Darul Aminan kepada setiap penghuninya, pusat penjagaan tersebut tetap bergelumang dengan kemelut tersendiri.

Percaya atau tidak, Darul Aminan sejak beroperasi digerakkan dengan tulang empat kerat pasangan suami isteri, Kamalul Arifin Abu Kassim, 47, dan Ruzita Abdul Aziz, 44, yang bergelar 'ayah' dan 'mama' kepada para penghuninya.

Bukan itu saja, sejak ditubuhkan Darul Aminan yang sudah didaftarkan di bawah Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan Negeri Sembilan tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ihsan orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan.

Rumah yang menjadi tempat kanak-kanak tersebut bernaung juga berada dalam keadaan serba kekurangan sekali gus memerlukan penambahbaikan.

Pada ketika ini, pertubuhan tersebut terpaksa menyewa di tiga buah rumah di Jalan Gedong Lalang 8 Ampangan, di sini untuk menempatkan penghuni yang terdiri daripada 16 perempuan dan 21 lelaki dengan kadar sewa RM350 sebuah.

Menurut Kamalul Arifin yang juga Pengasas dan Pengerusi Darul Aminan, mereka memerlukan kawasan sendiri yang mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 1.2 hektar untuk membina bangunan bagi penghuninya.

"Pada masa sekarang penghuni harus tinggal berasingan di tiga buah rumah yang diubah suai menjadi asrama. Alangkah bagus jika mereka ditempatkan di satu tempat demi keselesaan mereka menjalankan pelbagai aktiviti.

"Bukan itu saja, setiap tahun semakin ramai yang memohon ke sini tetapi terpaksa ditolak kerana rumah ini tidak cukup untuk menampung penghuni yang ramai," jelasnya.

Tambah Kamalul Arifin, hasrat untuk memiliki bangunan dan kawasan sendiri pernah diajukan kepada pihak tertentu namun mendukacitakan kerana sehingga kini tiada mendapat apa-apa jawapan.

"Kami tidak mahu terlalu mendesak sesiapa untuk menghulurkan bantuan melainkan mereka yang ikhlas ingin menghulurkan bantuan dengan mewakafkan tanah atau bangunan demi masa depan anak-anak yatim ini," ujarnya.

Kata Kamalul Arifin, beliau kini bertambah bingung memikirkan kontrak rumah sewa tersebut yang dijangka tamat pada penghujung tahun ini.

"Perbelanjaan bulanan dianggarkan lebih RM5,000 sebulan tetapi namanya anak yatim rezeki mereka sentiasa ada, hasil derma orang ramai termasuk syarikat korporat yang tidak pernah bermusim.

"Begitu juga dengan tenaga pengajar yang mengendalikan pelbagai kelas di sini, mereka melakukan dengan sukarela," katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi 013-3494442 atau menyalurkan terus sumbangan ke Akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan di bawah nombor akaun 05-01201-005962-5.


Rumah Anak Yatim Ulu Gadong

0 comments: